あらすじ
Tidak salah kita berusaha untuk bebas daripada bala sama ada penyakit berjangkit, kemarau, kesempitan rezeki, penguasaan musuh dan perang saudara. Malah syariat memang menyuruh kita berbuat demikian. Ertinya tidak berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa. Namun, adalah lebih berkesan sekiranya usaha kita itu benar-benar tepat kepada sasarannya, iaitu kembali kepada Allah SWT. Yakni usaha lahiriah itu hendaklah disertakan dengan sandaran kepada Allah SWT. Kerana hadis Rasulullah SAW itu menyebut dengan jelas punca segala angkara yang berlaku. Ambil sebagai contoh iaitu Aids. Secara lahiriahnya ia berpunca daripada virus HIV. Andainya kita lihat selapis lagi, mari kita bertanya dari mana datangnya HIV itu? Dan mengapa HIV itu hanya ditemui akhir-akhir ini apabila seks rambang berlaku di mana-mana? Di situ baru kita dapat lihat betapa di atas kesalahan manusia itu maka Allah SWT datangkan bala tersebut. Usaha penyelesaian mestilah berlaku serentak iaitu melalui kaedah lahiriah yang saintifik serta kembali kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Di sinilah pentingnya para pemikir dan pencinta masyarakat bertindak menjurus ke arah tersebut. Persoalan IMAN yang sering kita terlepas pandang, sedang ia adalah pil mujarab bagi merawat segala masalah umat, dari peringkat pembinaan diri, keluarga, masyarakat, pemimpin, negara hingga ke alam sejagat. Supaya seribu penyakit boleh disembuhkan oleh satu ubat dan bukan sebaliknya, satu penyakit dirawat dengan seribu ubat yang belum tentu kesembuhannya.



